Kereta Proton X70 milik pegawai penguatkuasa Kastam yang dibakar suspek dalam kejadian 18 November 2021.Gambar Ihsan Bomba Selangor

SEPANG – Polis menahan lima lelaki kerana disyaki menyimbah cat merah dan membakar kenderaan milik seorang penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian pertama pada Selasa, pengadu yang berusia 40 membuat laporan mengenai kenderaan Proton X70 miliknya yang telah disimbah cat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media khas mengenai isu jenayah semasa di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

“Selepas itu pengadu telah membawa kenderaan yang dirosakkan dengan simbahan cat ke tempat cuci kereta untuk dibersihkan.

“Pada Khamis kenderaan itu dibawa untuk membersihkan cat yang disimbah pada jam 10.30 pagi di kedai cuci kereta, Jalan Taman Pandamaran Permai, Klang.

“Ketika itu dua suspek yang datang dengan motosikal telah membakar kereta penguatkuasa kastam itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini.

Menurut Arjunaidi, hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontijen berjaya menjejaki lima suspek yang melakukan perbuatan khianat itu dan menahan mereka

“Kesemua suspek adalah warga tempatan berusia 30-an manakala salah seorangnya berusia 64 tahun ditangkap lewat malam tadi di sekitar Klang,” jelasnya sambil menambah kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

Tambah beliau, siasatan mendapati perbuatan jenayah yang dilakukan itu mumpunyai kaitan dengan sektor penghantaran dan logistik agen dan kastam di di Pelabuhan Klang.

Arjunaidi berkata, suspek direman bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan Khianat Api. – MalaysiaGazette