Mejar Mohd Fareez.

GEORGE TOWN – Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera dalam insiden pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada Selasa lalu selamat menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang telah menjalani pembedahan kira-kira jam 7 malam di HSJ.

Katanya, Mejar Mohd Fareez selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Beliau (Mejar Mohd Fareez) kini masih dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.

“Bagi rancangan rawatan beliau selanjutnya, pihak TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan diuruskan dengan sebaik-baiknya.

“Selain itu, urusan kebajikan isteri beliau, Siti Hajar Abdullah serta dua anak yang masing-masing berusia tiga dan lima tahun dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, TUDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan pesawat Hawk 108 terbabit.

“TUDM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mejar Mohd Fareez,” ujarnya.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas kira-kira jam 10.07 malam pada Selasa lalu.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan mengesahkan identiti mangsa maut sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala juruterbang yang cedera, Mejar Mohd Fareez Omar.

Jenazah Kapten Mohamad Affendi dikebumikan di Muadzam Shah, Pahang selepas proses bedah siasat selepas dilakukan di Hospital Seberang Jaya kelmarin.

Manakala Mejar Mohd Fareez dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ). – MalaysiaGazette