Datuk Seri Najib Razak land gift award bungalow Mahathir Mohamad Anwar Ibrahim debate live Sapura Energy
Najib Razak

AYER KEROH – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat keputusan menolak tawaran pemberian tanah oleh kerajaan yang sepatutnya diberikan kepada semua bekas perdana menteri.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat itu bagi menjernihkan keadaan yang dicetuskan  oleh Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun secara prinsipnya pemberian itu adalah  kelayakan bagi semua bekas perdana menteri.

Katanya, tindakan itu diambil selepas isu peruntukan berkenaan dijadikan modal politik oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya menyedari dan memahami ketika rakyat berdepan dengan saat-saat sukar seperti ini keutamaan negara adalah kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Memandangkan isu ini telah mencetuskan suasana tidak selesa, beliau turut mencadangkan kepada perdana menteri untuk melihat semua peruntukan kelayakan ini.

“Sekira perlu, tarik semula peruntukan tersebut kepada semua bekas PM termasuk selepas saya,” ujar beliau.

Bagaimanapun, bagi bekas perdana menteri yang telah menerima tanah itu, tidak perlu kerajaan menarik balik peruntukan berkenaan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menambah, beliau telah memohon kediaman seperti dibenarkan akta kerajaan, maka beliau boleh menarik semula permohonan yang dibuat pada tahun 2018.

Mengulas lanjut, Najib mempertahankan permohonan itu  berdasarkan Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 yang mana akta tersebut telah diubah suai dan diperbaiki pada tahun 2013.

Meskipun peruntukan itu belum diluluskan, namun beliau menolaknya selepas menyedari keadaan yang dihadapi rakyat selepas pandemik Covid-19.

Pada sidang media itu, Najib melahirkan rasa hairan dengan pembangkang yang cuba menjadikan perkara tersebut sebagai modal kempen meskipun beliau bukanlah calon yang bertanding pada PRN Melaka.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak tahu nilai tanah berkenaan namun merasa hairan diberi apabila nilai yang diberikan adalah RM100 juta.

Sedangkan, tanah itu adalah tanah kerajaan sedia ada dan diberi kepada beliau sebagai pilihan di bawah akta kerajaan itu.

Malah, tegas Najib, beliau tidak tidak pernah meminta kerajaan untuk berbelanja bagi membeli tanah tersebut apatah lagi meminta supaya diberikan kepadanya.

“Saya dan isteri dijadikan bahan untuk Maharaja Lawak Mega, gambar edit isteri saya pula digunakan gambar squid game DAP dan banyak lagi. Sedangkan saya bukan pun calon di Melaka atau ada apa-apa jawatan tertinggi dalam UMNO.

“Muka saya pun tiada di poster penuhi di seluruh negeri Melaka…kenapa pula yang kena mengena membenci saya dalam PRN Melaka.

“Apa yang pihak-pihak lawan fikir, warga Melaka dapat untuk membenci saya, apa yang rakyat Malaysia dapat dengan membenci saya selepas PRU14?,” soalnya.

Semalam, suasana di Dewan Rakyat bertukar kecoh selepas kira-kira tiga minit sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar  Kementerian Kewangan dimulakan.

Keadaan itu tercetus apabila Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad mencelah dan mempersoal peruntukan bernilai RM100 juta yang akan dihadiahkan dalam bentuk aset kepada Najib.

Dr Mahathir berkata, mengikut peraturan, perincian bajet perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan, sebelum ia diluluskan atau sebaliknya. – MalaysiaGazette