Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim meluangkan masa dengan melihat dan membeli pelbagai jenis coklat yang terdapat di kedai coklat Souq Shoppe @ Putra Mosque semasa mengadakan lawatan kedai tersebut di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Nasib Program Wilayah Bebas Berniaga yang dilanjutkan sejak Julai lalu selama enam akan diketahui bulan depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kementerian akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan sama ada program itu dilanjutkan lagi atau pun sebaliknya..

Jelas beliau, banyak faktor perlu diambil kira dengan mengambil kepentingan nasib usahawan terutama anak muda yang meniaga ketika ini.

“Kita belum putus lagi sama ada untuk pertimbangkan melanjutkan atau mengurangkan sewa berniaga.

“Ini kerana kementerian sedar dan memahami nasib anak muda terutama yang terkesan apabila menganggur selepas tamat pengajian dan memilih berniaga.

“Jadi kita perlu mengambil kira kepentingan itu bagi membolehkan mereka merancang strategi meningkatkan perniagaan masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bercakap kepada media selepas melawat kedai coklat Souq Shoppe @ Putra Mosque di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kedai Souq Shoppe dan Selera Laman Perdana di sini hari ini.

Di bawah Program Wilayah Bebas Berniaga, peniaga yang diberikan lesen sementara di bawah program itu akan disambung secara automatik.

Mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, diberikan lesen percuma dan boleh terus meniaga sampai akhir tahun ini.

Program itu dijadualkan tamat 31 Julai lalu namun dilanjutkan hingga Disember depan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kementerian komited untuk merancak semula ekonomi kerana Wilayah menjadi cerminan kepada aktiviti perniagaan negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim meluangkan masa dengan melihat dan membeli pelbagai jenis coklat yang terdapat di kedai coklat Souq Shoppe @ Putra Mosque semasa mengadakan lawatan kedai tersebut di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

Sementara itu, kedai coklat terbesar di Lembah Klang, Souq Shoppe@Putra Mosque kinimerupakan tarikan terbaharu di Putrajaya.

Konsep kedai coklat yang terletak di Masjid Putra di sini itu diilhamkan untuk memberi pengalaman baharu dan kegembiraan kepada pengunjung selain daripada membeli-belah.

Kedai seluas 11,000 meter persegi itu bukan sahaja menawarkan pelbagai coklat jenama tempatan dan antarabangsa tetapi memberi pengunjung peluang bergambar dalam alam fantasi dengan reka cipta dalaman yang dilengkapi lampu warna-warni dan struktur klasik. – MalaysiaGazette