Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Seramai lima penyokong pasukan bola sepak KL City FC telah ditahan polis dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Jalan Yaacob Latif, Cheras di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua lelaki terbabit telah diberkas pada jam 11.10 malam.

“Mereka telah bertindak melulu memanjat pagar setinggi tiga meter dan melompat masuk ke dalam kawasan padang serta menyerbu ke arah pemain.

“Anggota polis berjaya menghalang dan menyuraikan penyokong sebelum menahan lima penyokong yang berada di kawasan padang,” katanya dalam satu kenyataan tentang insiden tersebut hari ini.

Beliau menambah, ujian saringan awal air kencing terhadap lima orang lelaki tersebut telah dibuat dan keputusannya negatif.

Kesemua lima individu itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan dan dibebaskan selepas mengambil keterangan daripada mereka.

Menurut beliau, mereka bertindak demikian kerana terlalu teruja selepas pasukan KL City FC berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia pada edisi kali ini.

“Polis telah menyerahkan kes ini kepada pihak stadium, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut ke atas penonton berkenaan yang bertindak menceroboh padang stadium tersebut,” katanya. -MalaysiaGazette