Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2021. corruption Melaka state election
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2021.

TANJUNG BIDARA – “Saya terima, orang nak tohmah dan serang peribadi saya sebagai bahan kempen saat akhir,” demikian menurut calon Barisan Nasional (BN) Tanjong Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, perkara itu sudah menjadi asam garam sebagai ahli politik.

“Saya mengalu-alukan serangan peribadi kepada saya, daripada sinilah boleh kita lihat sikap orang yang tidak baik lebih-lebigh lagi yang menyerang.

“Saya tidak menyerang sesiapa dan perkara ini bukan budaya yang baik dalam politik hari ini,” katanya kepada media hari ini.

Ab Rauf turut menyangkal setiap tohmahan liar terhadap dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

“Ia memang tuduhan liar yang melampau tetapi saya berdoa pada hari Jumaat yang mulia ini, agar mereka itu semua diberi petunjuk.

“Saya terima sahaja walaupun tahu inilah asam garam dalam politik, yang mana ada yang menyatakan tidak ada belas ihsan,” jelasnya lagi.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kontroversi pengundi yang dibeli di beberapa kawasan, Ab Rauf tidak menafikan perkara itu wujud.

“Saya ada dengar namun akan terus membantu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk membanteras perkara ini.

“Saya juga menggesa mereka datang ke Tanjung Bidara berdasarkan maklumat yang telah kami berikan,” katanya lagi.

Katanya PRN Melaka harus diadakan secara adil dan tidak menggunakan cara negatif hanya untuk meraih undi.

PRN Melaka akan diadakan esok, 20 November selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan selepas empat bekas Exco menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

PRN Melaka memperlihatkan 112 calon yang akan berebut 28 kerusi Dun. – MalaysiaGazette