Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk menolak tawaran hartanah bernilai RM100 juta yang merupakan keistimewaan kerajaan kepada bekas-bekas perdana menteri dan kemunculan Tun Khalil Yaakob di kawasan Lendu bagi menyokong Datuk Seri Sulaiman Md Ali diharap mengembalikan ketenangan rakyat negeri Melaka untuk membuat pilihan terbaik esok.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan dua peristiwa penting ini berlaku di saat-saat akhir kempen PRN Melaka yang akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

Katanya, kedua-kedua peristiwa ini digunakan oleh pihak yang menyerang BN secara maksimum, sekali gus cuba meyakinkan rakyat Melaka untuk menumbangkan BN.

”Isu melibatkan anugerah tanah kepada mantan Perdana Menteri DS Najib. Ia menjadi bagai api yang disimbah dengan petrol kebencian, kemarahan dan fitnah meskipun semua mantan Perdana Menteri terdahulu mendapat keistimewaan ini, tetapi apabila melibatkan DS Najib ia menjadi bahan kecaman hebat dari pelbagai sudut.

”Malah ia dijadikan bahan serangan terakhir sebelum rakyat negeri Melaka keluar mengundi esok. Dan sebentar tadi DS Najib mengumumkan untuk menarik balik hasrat terima tawaran hartanah daripada kerajaan bagi mengelakkan satu lagi serangan ke atas sosok dirinya.

”Kedua, kemunculan Tun Khalil Yaakob, mantan TYT Melaka dalam beberapa hari bersama dengan PH telah digunakan semaksimanya oleh PH untuk menarik sokongan pengundi. Dan sebentar tadi Tun Khalil muncul di Lendu, kawasan Ketua Menteri, DS Sulaiman Ali. Kehadiran Tun disambut oleh Presiden UMNO dan Pengerusi BN DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan DS Sulaiman sendiri.

”Suasana menjadi penuh emosi kegembiraan memandangkan Tun Khalil merupakan mantan SUA UMNO. Saya menyaksikan peristiwa itu. Tun turut memuji personaliti Sulaiman sebagai seorang yang baik dan disukai rakyat. Malah kata Tun lagi, dalam tempoh yang singkat Sulaiman berjaya menampilkan ciri kepimpinannya,” ujarnya.

Zambry menaruh harapan pengundi Melaka dapat membuat pilihan terbaik demi kestabilan dan kemakmuran negeri Melaka.

”Moga pilihan rakyat esok apabila keluar mengundi akan memilih Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette