Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias berkongsi keadaan kesihatannya yang terkini selepas disihir beberapa bulan lalu.

Menerusi siaran langsung di Facebooknya, beliau yang terkenal dengan panggilan Ustaz Kazim mengakui berdepan kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian.

“Alhamdulillah (kesihatan) beransur baik, walaupun tidak 100 peratus.

“Jadi tuan-tuan tengok sendirilah. Inilah wajah saya terkini, nak senyum pun sakit. Saya rasa mungkin wajah saya berubah 70 peratus dari yang asal, nampak lain,” katanya dalam program Sembang Santai bersama DUKE, baru-baru ini.

Tambah Ustaz Kazim, terdapat perubahan fizikal yang ketara pada wajahnya terutama di bahagian mata dan bibir.

“Tengok hujung mata saya, tengok bawah bibir saya, tengok bibir saya, habis jadi hitam,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta semua mendoakan kesejahteraannya agar diberi kesembuhan segera.

Sebelum ini, Ustaz Kazim dilaporkan mengalami bengkak kaki sehingga terpaksa bertongkat dan berkerusi roda. – MalaysiaGazette