Sulaiman Md Ali

AYER KEROH – Rakyat Melaka sekali lagi diingatkan agar tidak mensia-siakan peluang untuk memilih kerajaan baharu di negeri itu demi kestabilan dan kesejahteraan berpanjangan pada masa akan datang.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, rakyat perlu melihat prestasi kerajaan yang pernah membangunkan Melaka sejak 62 tahun lalu.

Justeru, beliau merayu agar pengundi memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini kerana parti itu sahaja yang dapat membela nasib dan masa depan rakyat secara keseluruhan.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi di negeri Melaka mahupun yang akan mengundi di luar Melaka untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memilih kerajaan yang memiliki prestasi.

“Kita perlu pilih kerajaan yang stabil demi kemakmuran untuk anak-anak kita pada masa akan datang, jangan lagi tersalah pilih kali ini.

“Kita mesti mempunyai kerajaan yang kukuh supaya pelabur-pelabur luar negara akan datang melabur ke Melaka dan akhirnya pulangan itu akan dapat dinikmati dan dikecapi oleh rakyat di negeri Melaka ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini.

Ketika diminta mengulas mengapa rakyat Melaka perlu mengundi BN pada PRN Melaka esok, Sulaiman menegaskan, hanya parti itu sahaja yang dapat mengembalikan sejarah kegemilangan dan kestabilan di negeri itu.

Ujarnya, rakyat perlu menilai daripada sudut pengalaman yang dimiliki oleh BN bukan sahaja ketika mentadbir urus negeri Melaka, malah ketika memacu negara sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, BN sentiasa prihatin terhadap isu-isu rakyat dan segala permasalahan yang timbul pasti akan diselesaikan dengan sebaik mungkin.

“Jadi, undilah BN demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri Melaka,” katanya.

Sulaiman yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu mewakili BN merupakan calon Ketua Menteri Melaka jika gabungan parti itu menang pada PRN ini.

Beliau akan berdepan pertandingan tiga penjuru di kawasan yang ditandinginya dengan dicabar Mejar (B) Abdullah Mahadi dari Perikatan Nasional dan Mohamad Asri Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PKR Melaka mewakili Pakatan Harapan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Sulaiman selaku Ketua Menteri sebelum ini.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 8 November lepas sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 16 November manakala hari mengundi pada 20 November. – MalaysiaGazette