Penduduk di Aceh Jaya telah menyelamatkan anak gajah yang diperangkap. foto EPA

JAKARTA – Seekor anak gajah Sumatera maut selepas kehilangan separuh belalainya akibat perangkap pemburu haram di Indonesia.

Anak gajah berusia setahun yang hampir pupus itu ditinggalkan oleh kumpulannya selepas terperangkap dalam perangkap jerat.

Ia ditemui oleh penduduk kampung di bandar Aceh Jaya dan dibawa ke agensi pemuliharaan untuk dirawat.

Pegawai pemuliharaan berkata, mereka cuba menyelamatkan nyawanya dengan memotong belalainya, tetapi ia meninggal dunia akibat jangkitan kerana kecederaannya dua hari kemudian.

” Kami telah melakukan yang terbaik.

“Kami tidak dapat menyelamatkannya kerana kecederaan itu teruk dan ia sudah dijangkiti,” kata Agus Arianto, ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Aceh.

Gajah Sumatera adalah spesies terancam kritikal disebabkan oleh kadar penebangan hutan yang pesat di habitat aslinya di Borneo dan Sumatera.

Gajah jantan amat terdedah kepada pemburu haram kerana gadingnya yang sangat berharga, yang dijual di pasar gading haram.

Pada Julai tahun ini, seekor gajah dewasa ditemui dalam keadaan terpenggal dengan gadingnya tercabut. – BBC