Professor Dr. Jomo Kwame Sundaram

KUALA LUMPUR – Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram, ahli akademik dan juga pakar dalam bidang ekonomi dikurniakan gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-60 hari ini.

Istiadat konvokesyen telah diisytiharkan pembukaannya oleh Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.

Universiti Malaya dalam kenyataannya berkata, Jomo yang banyak menyumbang jasa kepada dunia pendidikan dalam dan luar negara tersebut memulakan bidang akademiknya pada tahun 1974 apabila beliau dilantik sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Perkhidmatan beliau sebagai ahli akademik diteruskan di beberapa universiti ternama dunia seperti di Harvard University dan Yale University.

Sekembali beliau dari luar negara, perkhidmatan beliau diteruskan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sepanjang karier beliau sebagai ahli akademik, Profesor Jomo aktif menghasilkan buku, artikel dan kertas kerja yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal ilmiah berindeks ISI, Scopus dan jurnal berwasit lain.

Beliau turut menyunting dan menterjemahkan ratusan buku selain menyumbang penulisan di dalam media.

Sumbangan dan kepakaran beliau bagi pembangunan ekonomi negara adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan sama sekali. – MalaysiaGazette