Mohd Rafiq Naizamohideen

KUALA LUMPUR – Kedudukan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam bahaya dan mungkin tewas di Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri Melaka.

Ini kerana, Mohd Rafiq tidak dipercayai oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Menteri Melaka, sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Tan Sri Shahrir Samad berkata, walaupun belum pasti Perikatan Nasional (PN) menang cukup kerusi untuk bentuk kerajaan, namun, sudah kalah dari segi semangat keutuhan parti apabila yang ‘ori’ dibuang untuk menyedapkan hati kumpulan ‘katak-katak politik’ dalam PPBM.

Katanya, ini bukan kali pertama Muhyiddin tidak menghiraukan pemimpin tertinggi partinya dalam soal jawatan tinggi di peringkat negeri.

Ketika berlakunya pembentangan usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang ketika itu juga Timbalan Presiden PPBM, dakwa Shahrir, Muhyiddin tidak bertindak tegas menyelamatkannya.

Tentunya, sebagai PM dan ‘orang kuat’ PPBM sebagai Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin telah mengetahui usul itu akan dikalahkan.

Kesudahannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletak jawatan Menteri Besar Perak.

”Kali ini, giliran seorang Naib Presiden PPBM pula. Mohd Rafiq Naizamohideen telah diketepikan sebagai calon PPBM untuk jawatan Ketua Menteri Melaka kalau PN berjaya menubuhkan kerajaan baru selepas PRN Melaka.

”Pilihan TS Mahiadin ialah Mas Ermieyati, seorang yang boleh dipersoalkan integriti politiknya sebagai ‘katak politik’ dan tidak berjawatan tinggi dalam PPBM.

”Berbeza sangat dengan Rafiq yang antara yang awal bersama PPBM dan dipilih ke jawatan sebagai naib presiden parti itu,” kata veteran UMNO itu. – MalaysiaGazette