palm oil benefits

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatatkan aliran lebih rendah minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung selepas menokok melebihi RM5,000 satu tan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Bagaimanapun, beliau berkata, jangkaan eksport yang lebih kukuh bagi beberapa minggu akan datang dilihat menyokong harga dalam tempoh terdekat.

“Pasaran pada minggu depan dijangka didagangkan pada kecenderungan meningkat ekoran sentimen eksport yang kukuh dan jumlah pengeluaran yang lebih rendah,” katanya kepada Bernama.

Pergerakan harga pada minggu depan pula dijangka dalam lingkungan antara RM4,800 dan RM5,100 satu tan, katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru ini berkata industri sawit dijangka menyumbang nilai eksport sebanyak RM100 bilion pada 2021, meningkat daripada RM73.3 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak Disember 2021 menokok RM250 kepada RM5,437 satu tan, Januari 2022 naik RM270 kepada RM5,205 satu tan, Februari 2022 meningkat RM256 kepada RM4,993 satu tan, Mac 2022 naik RM243 kepada RM4,800 satu tan, dan April 2022 susut RM220 kepada RM4,627 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 297,387 lot daripada 358,140 lot pada minggu dagangan sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 258,518 kontrak daripada 258,213 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan menambah RM70 kepada RM5,470 satu tan. – MalaysiaGazette