Pengundi pertama, Maimon Hasan, 78 hadir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2021.

LENDU – Bagi mengelakkan kesesakan semasa proses membuang undi, seorang warga emas keluar awal dari rumah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat.

Maimon Hassan, 78, yang berasal dari kampung Seri Tanjung, tiba bersama anaknya pada pukul 7.35 pagi dan menunggu sehingga pintu pusat mengundi di Sek.Keb. Durian Daun (K) dibuka pada jam 8 pagi.

Kerusi rodanya kemudian ditolak oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  sebelum ke kaunter imbas suhu.

Ketika ditemui media selepas selesai membuang undi, Maimon meluahkan perasaan gembira kerana menjadi pengundi pertama di sini.

“Nak mengelakkan orang ramai (mengundi) nanti, tak sangka dapat jadi pengundi pertama,” luah Maimon yang selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada 8.15 pagi.

Dia terpaksa menggunakan kerusi roda selepas mengalami kecederaan di kaki akibat kemalangan dua tahun lepas.

Dalam pada itu, tinjauan Malaysia Gazette mendapati, proses pengundian berjalan lancar, walaupun terdapat beberapa pengundi di saluran 1 dari kalangan warga emas yang terpaksa berdiri lama untuk menunggu giliran masing-masing.

Namun, petugas SPR menyediakan bangku panjang untuk mereka yang tidak mampu berdiri lama dalam keadaan cuaca semakin panas di hadapan bilik mengundi.

SPR sebelum ini menasihati orang ramai agar keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Namun, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.– Malaysia Gazette