Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

BANDAR HILIR – Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) diperingkat pusat.

Ini kerana, kerjasama antara parti termasuk BN telahpun terjalin ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sebelum ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Katanya, banyak bantuan telahpun diberikan bagi membantu rakyat dan usaha bersama tetap akan diteruskan.

“Jadi yang itu saya fikir kita berikan keutamaan, apapun pastinya pengalaman yang kita alami di Melaka ini akan diambil kira dari segi kedudukan kita di masa hadapan,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Muhyidin berkata, PN sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan meskipun berdepan dengan Pilihan Raya Umum.

Ujarnya, kekalahan pada PRN Melaka tidak menjadi masalah kepada PN untuk berdepan situasi yang lebih besar.

“Sebagai sebuah parti yang telah terbentuk dengan tujuannya mahu memberikan perkhidmatan terbaik menentang segala bentuk salah guna kuasa, rasuah yang berleluasa saya ada pilihan.

“Kita mahu supaya pengundi yang ada di negara kita ini memberikan penilaian adil terhadap apa yang kita pertaruhkan dalam Pilihan Raya seperti di Melaka ini,” ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai saranan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menggesa beliau membubarkan PN dan kembali kepada UMNO susualan kekalahan yang dialami pada PRN tersebut, Muhyiddin menegaskan, beliau tidak akan sesekali berbuat demikian.

“Kita yakin prinsip dan asas pembentukan bukan saja Bersatu tapi juga Perikatan Nasional ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menawarkan satu bentuk parti yang membentuk kerajaan lebih baik

“Ada prinsisp-prinsip ketelusan, integriti menentang rasuah itu menjadi dasar perjuanagn kita…apakah saya harus meninggalkan prinsip itu untuk tujuan pulang kepada parti asal saya…tidak sekali-kali,” katanya.

Tambah beliau, PN akan terus beristiqomah dengan parti-parti gabungan dan bekerja lebih kuat supaya menjadi pencabar utama kepada BN.

Langkah itu, katanya, bertujuan supaya rakyat di negara ini mempunyai satu lagi pilihan untuk membuat pertimbangan supaya ia menjadi satu yang boleh menawarkan perubahan-peruabahan yang lebih baik.

“Jadi, bagi saya penting bukan saja soal peribadi saya kerana kita berpendapat bahawa pembentukan bersama dan sekarang ini gabungan dalam PN ada satu perkembangan politik yang sihat di bawah sistem demokrasi berparlimen,” jelasnya. – MalaysiaGazette