Kira-kira 200 peneroka di Felda Kota Tinggi dekat sini hilang punca pendapatan ekoran kebun kelapa sawit mereka telah dimusnahkan sekumpulan gajah.

ISKANDAR PUTERI – Kira-kira 200 peneroka di Felda Kota Tinggi dekat sini hilang punca pendapatan ekoran kebun kelapa sawit mereka telah dimusnahkan sekumpulan gajah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, haiwan itu bukan sahaja merosakkan hasil tanaman tetapi pernah meragut lima nyawa penduduk termasuk insiden terbaharu di Kluang pada bulan lalu.

Lebih mengecewakan, katanya, para peneroka  yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di Felda Air Tawar 2 dan 3, Bukit Waha, Simpang Waha, Pasak serta Lok Heng tidak dapat menikmati hasil walaupun harga sawit kini berada paras tertinggi.

Rosleli Jahari

Selain itu mereka terpaksa mengalami kerugian ribuan ringgit.

“Saya membawa keluhan dan rintihan hati rakyat Kota Tinggi yang sudah tidak dapat bertahan dengan ancaman gajah yang memusnahkan sumber pendapatan mereka.

“Jika peneroka lain mampu dapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan berikutan harga sawit yang tinggi namun kira-kira 200 peneroka di beberapa kawasan di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan tanaman mereka musnah akibat gajah malah kini mereka terpaksa berhutang.

“Saya bangkitkan isu ini supaya pihak berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil serius isu gajah ini kerana jika tiada tindakan bersungguh-sungguh, penduduk akan terus menderita dan teraniaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbahasan Belanjawan Johor 2022 di pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-14 di sini hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan penduduk di Taman Bandar Tiram di Ulu Tiram, Johor Bahru dikejutkan dengan kemunculan dua ekor gajah yang semakin hampir memasuki pusat bandar raya.- MalaysiaGazette