Seramai 11 pemandu mabuk ditahan manakala sembilan motosikal disita dalam OP Samseng Op Motosikal oleh JSPT KL di sekitar ibu negara awal pagi tadi. Gambar Ihsan JSPT KL.

KUALA LUMPUR – Sikap 11 individu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk atas jalan raya membawa padah.

Kesemuanya ditahan dalam operasi di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi Samseng dan Op Motosikal itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/ Operasi JSPT KL bermula 9 malam sehingga 4 pagi di sekitar Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Bangsar dan Jalan Tun Razak di pusat bandar raya.

“Seramai 11 lelaki berumur lingkungan 25 hingga 57 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati bersalah memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Seramai 11 pemandu mabuk ditahan manakala sembilan motosikal disita dalam OP Samseng Op Motosikal oleh JSPT KL di sekitar ibu negara awal pagi tadi. Gambar Ihsan JSPT KL.

Secara keseluruhan sebanyak 164 saman telah dikeluarkan oleh pasukannya kepada pemandu dan penunggang motosikal diatas pelbagai kesalahan yang dilakukannya.

“Selain itu, dalam operasi sama, sebanyak sembilan buah motosikal telah disita untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan telah melakukan pengubahsuaian pada struktur kenderaan (ekzos).

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah semula kepada struktur asal.

“Kita juga akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya selepas ini,” katanya.- MalaysiaGazette