Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Azmir Mohd Nizah (kanan) semasa menjadi tetamu Program Melaka Memilih di Melaka.

MELAKA – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam dilihat sebagai signal besar yang diberikan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berpandangan, faktor muak dan jelak dengan siri kempen dan serangan peribadi mungkin menjadi indikator kekalahan besar buat Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Melihat kepada peratusan yang keluar mengundi hanya 63 peratus, tidak sampai sasaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Mengapa ini berlaku? Ini juga menjadi asas kerana rakyat Melaka begitu gusar kerana tiada kestabilan politik, lagi-lagi PH memgambil dua ahli baru yang sebelum ini melompat dan diberikan istilaha ‘katak’.

“Jadi, disebabkan itu, rakyat rasa mungkin mereka gusar dan akhirnya tidak memihak kepada calon-calon itu,” katanya dalam program Melaka Memilih.

Jelasnya, dalam konteks tersebut, ia telah memberi kesan secara langsung selepas memikirkan perkara secara rasional.

“Kenapa perlu dipilih lagi orang-orang sebegini? Kesetiaan kepada parti sangat penting dan bagaimana nak dapat kepercayaan rakyat Melaka.

“Selain itu, melihat kepada siri kempen yang tidak relevan dengan buat rakyat Melaka juga menjadi antara punca mengapa kekalahan berlaku.

“Tambahan, dengan terlalu banyak informasi yang dikongsi, dan mereka lupa, rakyat sudah boleh menilai sejauh mana kebenaran setiap kempen yang diberikan,” katanya.

Mohd Azmir berkata, kekuatan BN di Melaka dengan jentera yang ramai dan akar umbi yang begitu setia dengan parti antara yang menyumbang kepada faktor kemenangan.

“Itulah kejayaan besar yang saya anggap sebagai menang bergaya buat BN. Tiada parti lain mampu menandingi perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, signal jelas penolakan ini harus dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang baharu.

“Ramai wajah baharu diperkenalkan kali ini, sudah pasti boleh mencorak Melaka dengan lebih baik. Melihat masalah utama di Melaka seperti capaian internet, isu air dan banjir kilat, ia sudah pasti perlu dilakukan dengan segera.

“Itu juga menjadi janji mereka sewaktu kempen dan harus menunaikannya,” katanya.

PRN Melaka semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti besar dengan 21 kerusi, PH lima kerusi dan PN hanya dua kerusi.

Awal pagi tadi juga, Datuk Seri Sulaiman Md Ali Adun Lendu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu. -MalaysiaGazette