Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan penyertaan kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam sebagai salam perkenalan.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, dalam pilihan raya semalam, bukan sahaja Putra, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpuluhan tahun bertapak dalam persada politik pun kalah semua kerusi.

Begitu juga katanya, dengan parti gabungan dari Perikatan Nasional (PN), hanya mampu menang dua daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, walaupun ia sebahagian daripada kerajaan pusat.

“Melihat statistik keputusan kerusi, parti yang puluhan tahun pun tidak memenangi satu kerusi pun. Ini merupakan kekalahan gergasi-gergasi parti gabungan yang mengejutkan.

“Kekalahan PN yang didokongi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas juga amat mengejutkan.

“Jika Putra hilang deposit memang sudah dijangka, tapi apabila ada calon PPBM dan Pas yang gah dengan pemimpinnya berjawatan tinggi serta sepanduk, bendera dan billboard yang begitu banyak, namun ada juga yang hilang deposit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Putra untuk pertama kalinya dalam dua setengah tahun penubuhannya telah mencuba nasib bertanding di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, namun kalah di kerusi masing-masing.

Menurut Ibrahim, Putra tidak sedikit pun kecewa atau gundah gulana, malah bangga dengan percubaan berani lima calonnya masuk gelanggang seperti semangat kebangkitan perjuangan intifada anak-anak Palestin.

Katanya, dari awal Putra menyatakan penyertaannya sekadar pemanas badan atau warming up menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Beliau mengucapkan syabas kepada lima calon Putra kerana berani mencuba dan berkorban keringat setakat yang termampu.

“Semuanya telah menunjukkan jati diri serta aura semangat juang tinggi yang bermakna untuk kelangsungan perjuangan tanpa noktah demi Islam dan peribumi.

“Pengalaman yang pahit, tapi nikmatnya ialah bertarung dalam serba kekurangan secara mengejut tanpa persediaan cukup membuktikan semangat juang warga Putra amat tinggi dan boleh dibanggakan.

“Pengalaman berharga ialah pengajaran jika ingin bertarung, jentera kena lengkap dan keperluan cukup. Senjata tanpa peluru memang sukar kerana lawan mempunyai segala-galanya,” kata beliau.

Dr. Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan percaya rakyat akan memperoleh apa yang dihajati dengan memilih parti itu.

Mengulas lanjut, kata beliau, PRN Melaka diadakan dengan SOP yang ketat, tiada kempen bersemuka dan ceramah sehinggakan ramai pengundi tidak keluar ke kedai makan mahupun masjid untuk mendapatkan maklumat secara terus dengan jentera atau ahli Putra.

“Sebagai parti baru, medan terbaik untuk mempromosikan Putra kepada rakyat telah disekat, malah pengundi belum sempat mengenali parti itu berbanding parti berusia puluhan tahun dan pengundi sudah biasa melihat simbolnya.

“Sebab itu Putra sertai PRN Melaka dengan tujuan memberi salam dan sekadar memperkenalkan diri, namun SOP ketat yang dikenakan, nak menyampaikan salam pun sukar.

“Kita akan membuat kajian teliti dan mendalam mengenai PRN Melaka dalam semua aspek termasuk kemenangan besar diperolehi oleh BN dan sebab kemenangannya,” katanya. – MalaysiaGazette