Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu kelmarin ditamatkan.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan cuaca di negeri Kelantan yang meliputi sembilan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai serta tujuh kawasan di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun dijangka bertambah baik.

“Amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan pukul  1 tengah hari pada 20 November lalu dengan ini ditamatkan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi  myCuaca, laman media sosial rasmi jabatan dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Sabtu, MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) peringkat kuning bagi beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu, bermula Ahad hingga Isnin. – MalaysiaGazette