Samsolbari Jamali
ISKANDAR PUTERI- Ikan lumba-lumba dan jerung paus merupakan tarikan baharu Mersing.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Samsolbari Jamali berkata, Jabatan Perikanan Negeri Johor telah mengenal pasti kehadiran hidupan laut terbabit di Taman Laut Johor.
“Taman Laut Johor adalah antara perairan terluas di Semenanjung Malaysia, terdiri daripada 13 pulau. Kawasan perairannya merupakan laluan penghijrahan utama pelbagai spesies hidupan marin termasuk penyu, lumba-lumba dan dugong.
“Sekiranya perairan ini diwartakan, hidupan marin di kawasan itu dapat membiak dengan baik tanpa ancaman sekali gus melindungi populasi hidupan marin terutamanya sumber perikanan dan pengekalan kepelbagaian sumber genetik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan (DAP- Liow Cai Tung) berkenaan usaha kerajaan negeri bagi melindungi spesis laut yang berharga di Mersing pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Johor ke-14 di sini pada Isnin.
Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata, bagi perlindungan khazanah taman laut terbabit, Seksyen 41 hingga 45, Akta Perikanan 1985 digunapakai terhadap peraturan mengenai pengurusan, larangan dan penguatkuasaan.
“Antara aktiviti yang dilarang adalah mengambil, menangkap atau mengganggu mana-mana sumber marin sama ada hidup atau mati dan membina sebarang struktur di kawasan perairan taman laut.
“Terdapat 32 kes tangkapan yang telah dibuat pada tahun 2021 ini di sekitar perairan Mersing,” katanya.
Berkaitan program konservasi penyu pula, katanya kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi konservasi penyu selain membeli telur penyu daripada penduduk dan ditetaskan di pusat konservasi penyu di Pulau Tinggi, Mersing.-MalaysiaGazette