Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir di Pejabat Impact Integrated Spacerubix Puchong, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bajet 2022 membuktikan komitmen tinggi kerajaan untuk membantu golongan belia di negara ini terutamanya dalam mendepani kesan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir berkata, ia dapat dilihat menerusi komitmen JaminKerja yang membuka 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda membabitkan peruntukan RM4.8 bilion.

Selain itu kata beliau, insentif penggajian di antara 20 peratus ke 40 peratus kepada majikan yang menggajikan belia menganggur juga membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Katanya, peruntukan RM1.1 bilion bagi program kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) pula memberi kesan positif yang turut  menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran di negara ini.

“Ini menunjukkan kerajaan komited terhadap golongan belia apabila dalam Bajet 2022, banyak inisiatif mewujudkan peluang pekerjaan diperkenalkan,” katanya dalam satu temubual.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK

Pada 29 Oktober lalu, Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan dibentangkan dengan jumlah RM332.1 billion oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmed Faris berkata, kerajaan jelas meletakkan keutamaan kepada generasi muda dalam agenda pembangunan negara kerana dalam setiap program yang dirancang, ia tidak pernah meminggirkan golongan belia.

Inisiatif itu semakin jelas dalam Bajet 2022.

Gambar hiasan 

Katanya, bajet yang diumumkan itu turut merangkumi 25 insentif untuk golongan belia dengan pelbagai manfaat yang boleh menjamin masa depan mereka.

Antaranya, e-Start iaitu e-Wallet yang menawarkan RM150 kepada golongan belia yang berumur antara 18 tahun sehingga 20 tahun.

“Inisiatif e-Start ini dapat membantu memberi maafaat kepada dua juta belia iaitu peningkatan tiga kali ganda tahun sebelumnya dan ini merupakan langkah yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata, menurut data Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), rata-rata belia menggunakan pendapatan mereka untuk membayar pinjaman, makanan, utiliti dan membeli keperluan anak bagi yang sudah berkahwin serta memberi kepada ibu bapa mereka.

“Jadi e-Start ini dapat membantu mereka membayar PTPTN dan bil-bil walaupun ada yang berpendapat jumlahnya tidak banyak. Namun ia mampu membantu belia berbelanja dan dapat menjimatkan pendapatan mereka untuk digunakan bagi keperluan lain,” katanya.

Tengku Zafrul Tengku Aziz membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 OKTOBER 2021.

Impact Integrated merupakan syarikat di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang menerajui pembangunan dan inovasi belia di negara ini.

Ia merupakan organisasi induk kepada Impact Malaysia, Rakita 107.9, Spacerubix, Picksum, Esports Integrated, dan mySukan TV yang memangkin pembangunan dan inovasi belia di negara ini. – MalaysiaGazette