Orang ramai bersama keluarga beratur mendapatkan tiket bagi meluangkan masa pada cuti hujung minggu dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa tiga ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sunway Lagoon, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2021.

KETIKA kita mengidamkan masyarakat yang saling hidup aman dan damai serta saling
menghormati antara satu sama lain, terdapat pelbagai faktor pendorong yang memberikan kesan terhadap nuansa tersebut.

Namun, satu faktor besar yang penting untuk kita ambil perhatian ketika membicarakan
tentang masyarakat adalah keadaan sesebuah keluarga dalam masyarakat tersebut.
Kita perlu melihat semula kepada unit kecil yang bernama keluarga ini kerana yang
membentuk masyarakat itu sendiri ialah himpunan daripada keluarga. Kita perlu sedar
bahawa bagaimana acuan keluarga itu sendiri, begitulah acuan masyarakat.

Maka, langkah awal dan penting untuk membina masyarakat yang menjadi idaman kita,
perlu bermula daripada setiap anggota keluarga – bapa, ibu dan anak-anak. Setiap satu ahli keluarga mempunyai peranan masing-masing yang tidak boleh diabaikan.

Membina keluarga utuh

Sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, baginda bersabda yang
bermaksud, “Sebaik-baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli
keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”
Hadis ini telah meletakkan satu kayu ukur bagaimana menjadi seorang manusia yang
terbaik. Jawapannya adalah menjadi orang yang paling baik dengan ahli keluarganya.
Kenapa menjadi baik kepada ahli keluarga? Kerana di sinilah kita menjadi diri kita yang
sebenar-benarnya.

Kita boleh mengubah karakter dan peribadi kita apabila berada di khalayak awam atau
ketika bersama dengan rakan-rakan. Tetapi apabila bersama dengan ahli keluarga, inilah
warna sebenar diri kita. Itulah sebab kenapa sangat penting untuk kita perhatikan diri kita apabila berinteraksi dengan ahli keluarga kita.

Jika kita melihat sifat-sifat yang buruk ada pada diri kita seperti cepat marah, bahasa yang kasar, tidak ringan tulang dan sebagainya, maka kita perlu sedar bahawa diri kita masih belum menjadi manusia yang terbaik. Dari sinilah kita menyusun proses membentuk diri kita dengan mengisi sifat-sifat yang baik.

Maka, untuk membina sebuah keluarga yang utuh, kita perlu bermula dengan membaikkan diri kita sendiri. Baik yang bagaimana? Pastinya seperti yang dianjurkan dalam al-Quran. Bagaimana ingin tahu contohnya? Kita lihatlah kisah hidup baginda, Nabi Muhammad SAW kerana Aisyah RA pernah berkata, “Akhlaknya (Nabi SAW) ialah al-Quran.” (HR Bukhari).

Peranan ibu dan bapa

Meskipun usaha membaikkan diri sendiri perlu dimainkan oleh semua anggota keluarga,
namun ibu bapa mempunyai pemberat yang berbeza. Ibu bapa adalah contoh dan pemimpin kepada keluarga. Merekalah guru pertama buat anak-anak yang lahir ke dunia.
Apa yang dilakukan oleh ibu bapa, itulah yang akan diikuti dan dipelajari oleh mereka di
rumah. Meskipun ia hal yang kecil seperti menyusun selipar di rak kasut atau membasuh
pinggan selepas makan, ia menjadi pelajaran buat anak-anak. Perkara ini akan tertanam
dalam peribadi anak-anak hingga menjadi jati diri mereka.

Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar untuk memberikan pendidikan dan teladan yang betul dan baik agar anak-anak dapat membina keperibadian yang utuh.
Maka, ibu bapa mesti ada rasa kebertanggungjawaban untuk berterusan menambah baik
diri mereka. Usaha ini boleh dilakukan dengan mengikuti kelas atau kuliah pengajian,
membaca buku dan berbincang dengan mendalam antara kedua-duanya.

Di belakang ibu bapa, tertanggung satu beban yang besar untuk mendidik anak-anak
mereka kerana kelak mereka akan mengisi ruang-ruang dalam masyarakat. Jika utuh
keluarganya, maka utuhlah masyarakatnya.

Menuju masyarakat utuh

Usaha membina masyarakat yang utuh perlu menjadi tanggungjawab buat kita semua. Ia
pastinya akan memakan masa. Tapi itu tidak penting untuk kita risaukan.
Utamanya adalah kesedaran yang ada pada setiap ibu bapa untuk memulakan usaha
membina masyarakat utuh ini daripada keluarga mereka sendiri. Tanpa kesedaran ini,
masyarakat utuh akan kekal menjadi mimpi.

Selain itu, sistem sokongan buat ibu bapa dan keluarga yang memerlukan juga perlu
digiatkan terutamanya pada aspek ekonomi dan sosial. Kedua-dua ini memberikan kesan
langsung kepada proses membina keluarga yang utuh.

Ibu bapa pastinya tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak
jika kewangannya hanya mampu mengisi perut mereka sahaja. Sama juga jika tekanan
sosial terus mendesak, akan memberikan kesan kepada keupayaan mental mereka.
Akhirnya keputusan yang salah akan memberikan kesan buruk kepada keluarga itu.

Menuju masyarakat yang utuh memerlukan kebersamaan yang sejagat daripada kita semua. Maka, bantulah apa yang mampu kita berikan. Mohonlah bantuan, jika kita memerlukan.

Dr Syamimi Saadon
Timbalan Ketua IKRAM Muda
Pertubuhan IKRAM Malaysia