Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di kilang proses peralatan ganti mesin di Balakong, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berdaftar atas nama kilang di Melaka tetapi bekerja di kilang yang beroperasi di Balakong.

Tindakan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan kesalahan itu terbongkar apabila ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen di sebuah kilang pengeluaran alat ganti mesin di Balakong di sini malam ini.

Operasi yang dilaksanakan jam 8 malam itu telah disertai oleh kekuatan 80 pegawai dan dibantu penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menyerbu kilangĀ  selepas menerima aduan awam yang mengesyaki kilang berkenaan menggunakan tenaga kerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di kilang proses peralatan ganti mesin di Balakong, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

“Jadi dalam operasi di kilang tadi, seramai 134 orang PATI telah diperiksa dan 129 didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan ada dalam kalangan mereka menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan Imigresen Malaysia.

“Mereka adalah 110 lelaki dan 19 wanita yang terdiri daripada warganegara Indonesia, Myanmar, India dan Bangladesh serta Nepal.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud bercakap kepada media mengenai satu operasi penguatkuasaan di kilang proses peralatan ganti mesin di Balakong, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen ini siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 6(1) c) dan mereka yang menyalahgunakan dokumen,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan malam tadi.

Tambah Khairul Dzaimee, lima pekerja warga asing didapati telah dikeluarkan PLKS di Melaka tetapi bekerja di kilang di Seri Kembangan merupakan satu kesalahan di bawah Perkara 39 B Peraturan-peraturan Imigresen.

“Kilang berlainan berdasarkan nama yang tertera dalam PLKS dan kita akan menyiasat majikan ini dan pekerjanya sebab salahguanakn PLKS yang dikeluarkan dan juga sektor yang sama atau berbeza juga akan disiasat mendalam.

Sementara itu, majikan mereka akan dipanggil untuk disiasat di bawah Seksyen 55 e Akta Imigresen iaitu membenarkan warga asing atau membenarkan PATI berada di dalam kilang tanpa dokumen, dan jika disabitkan kesalahan majikan boleh dikenakan denda oleh mahkamah sebanyak RM5,000 untuk setiap PATI dalam premisnya.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di kilang proses peralatan ganti mesin di Balakong, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

“Semasa serbuan terdapat pekerja asing cuba melarikan diri sekaligus menunjukkan kesalahan dilakukan, jika mereka miliki dokumen sah tak perlu takut dan melarikan diri.

“Apabila diperhatikan, kilang itu sendiri tidak menepati aspek keselamatan kerana lantai licin, peralatan proses besi yang panas dan menggunakan tenaga elektrik terlalu rapat kedudukannya sehingga boleh membahayakan pekerja dan perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) untuk tindakan lanjut.

“Saya juga kecewa kerana majikan kilang ini tak ambil peluang dari program rekalibrasi tenaga kerja asing yang sedang dijalankan kerajaan sekarang sedangkan program itu sudah berjalan selama setahun.

“Syarat-syarat rekalibrasi telah dilonggarkan untuk memberi peluang kepada majikan yang menggaji pati datang mendaftarkan pekerja mereka dalam portal jabatan Imigresen dan mereka yang sudah berbuat demikian tidak akan dikenakan tindakan walaupun PLKS belum dikeluarkan dan sedang diproses,” ujarnya.

Justeru katanya, program rekalibrasi yang akan berakhir pada 31 Disember ini tidak akan dilanjutkan lagi.

“Kita telah membuat keputusan tidak melanjutkan program rekalibrasi ini. Pun begitu Imigresen diberi masa memproses kesemua PATI yang berdaftar di portal sehingga PLKS berjaya dikeluarkan,” tegasnya.- MalaysiaGazette