Keadaan sebuah kereta jenis Proton Preve yang merempuh sebuah kedai perabot dalam kemalangan di MRR2, Kampung Pasir, Ampang semalam.

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta yang merempuh sebuah kedai perabot di Kampung Pasir, Ampang dekat sini petang semalam sehingga mengakibatkan seorang pekerja maut dipercayai pitam dan tidak sedarkan diri semasa memandu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 melibatkan sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna merah yang terbabas dan merempuh masuk sebuah premis sekitar pukul 61.5 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu seorang lelaki dari arah Kajang menghala ke Raub, Pahang dipercayai hilang kawalan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit telah hilang kawalan dipercayai pitam dan tidak sedarkan diri semasa melalui jalan tersebut lalu terbabas dan merempuh masuk ke premis perniagaan yang menjual perabot.

“Seorang pekerja kedai perabot yang juga warga tempatan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Ampang sementara pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Keadaan mangsa yang juga pekerja kedai perabot selepas dirempuh kereta jenis Proton Preve dalam kemalangan di MRR2, Kampung Pasir, Ampang semalam. Gambar ihsan PDRM

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, sampel darah pemandu terbabit telah pun diambil untuk di analisa.

Manakala ujian air kencing serta ujian pernafasan untuk mengesan pemandu mabuk yang dijalankan adalah negatif, katanya.

“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran,” ujarnya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.

Semalam, media melaporkan seorang pekerja kedai perabot berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk merempuh masuk ke dalam kedai. – MalaysiaGazette