Tujuh daripada sembilan warga asing yang ditahan didapati di pusat hiburan dekat Johor Jaya semalam bukan sahaja melanggar SOP, tetapi turut didapati positif dadah.

PASIR GUDANG – Seramai sembilan warga asing ditahan ketika sedang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Johor Jaya di sini semalam.

Kesemua mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis Task Force Ibu Pejabatan Kontinjen (IPK) Johor itu diketuai Asisten Superintendan Saifullah Jaya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, penahanan membabitkan enam wanita berusia 28 hingga 38 tahun itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

Serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu juga mendapati tujuh daripada warga asing  positif dadah jenis methamphetamine.

“Dalam serbuan ini, polis juga menemui satu kotak besi mengandungi barang disyaki dadah jenis ecstasy dan penimbang digital.

“Turut dirampas, tiga bungkus serbuk minuman mengandungi dadah, satu peket lutsinar disyaki syabu anggaran 0.35 gram yang dirampas dalam stoking seorang daripada suspek yang ditahan selain wang tunai berjumlah RM356,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, polis juga mendapati kesemua suspek  tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kami akan reman kesemua suspek ini selama 14 hari atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB 2021), Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-MalaysiaGazette