Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai memberangsangkan walaupun Pas tidak memenangi sebarang kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula hanya mendapat dua kerusi sahaja.

Ini kerana Pas dan PN dilihat sebagai pasukan underdog.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, telahan awal menjangkakan PN akan ‘bungkus’ di semua kerusi namun ternyata PN berjaya merampas dua kerusi DUN yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP sebelum ini serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu.

”Pas juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.

“Ini merupakan petanda awal kemampuan Pas dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah, keputusan PRN juga menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat Melaka kepada Pakatan Harapan (PH), apabila mereka tewas hampir semua kerusi yang pernah dimenangi kecuali di kawasan majoriti bukan-Melayu yang ditandingi DAP dan di Bukit Katil.

Katanya, ia merupakan petanda jelas penolakan rakyat terhadap politik fitnah, kebencian dan sentimen yang disemai PH serta ketidakpercayaan rakyat terhadap janji-janji palsu mereka.

”Ternyata parti-parti komponen PH tidak ada nilai, selain bergantung harap pada DAP. Kempen-kempen DAP yang memburukkan Pas dan PN dengan isu polisi judi dan arak di Negeri Kedah yang majoritinya Melayu Islam, digunakan untuk menakutkan pengundi bukan-Melayu sehingga mereka berjaya memperoleh undi.

”Namun kesannya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAN ditolak majoriti masyarakat Melayu di kerusi ditandingi mereka. Sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal, dan parti lain akan terus tersungkur,” ujarnya.

Beliau yang mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional kerana berjaya menubuhkan kerajaan dengan mandat majoriti rakyat berharap Melaka akan terus maju dan stabil, bebas dari penyelewangan dan dilindungi dari sebarang konflik yang memberi mudarat buat negeri ini dan negara Malaysia yang tercinta. – MalaysiaGazette