Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali bercakap pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri Melaka di IPK Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Hanya 37 kertas siasatan dibuka dan kompaun bernilai RM120,000 dikeluarkan polis negeri ini sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, jumlah itu jika dilihat masih terkawal sekaligus menunjukkan sikap kepatuhan rakyat yang tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan Covid-19.

“Malah sepanjang tempoh PRN ini, kita dapati tiada langsung insiden provokasi antara semua jentera mahupun penyokong parti politik bertanding.

“Jadi saya ingin berterima kasih kepada rakyat Melaka kerana tidak terbawa-bawa dengan sentimen politik sekaligus menunjukkan mereka amat mementingkan keselamatan awam.

“Sebab itu, sepanjang PRN ini hanya 37 kertas siasatan dibuka dan kompaun yang kita keluarkan bernilai RM120,000 kesemuanya terhadap atas penganjur parti atau ahli politik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Manakala bakinya adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan Abdul Majid berkata, penguatkuasaan yang dilakukan sepanjang PRN di negeri ini berjalan lancar sekaligus menunjukkan tahap kematangan rakyat negeri ini. – MalaysiaGazette