JOHOR BAHRU- Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu langkah tepat dan boleh dijadikan model untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kemenangan cemerlang BN membuktikan mereka mampu mencipta kejayaan tanpa perlu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Malahan langkah UMNO meletakkan ramai calon muda memberikan keyakinan kepada rakyat untuk kembali memilih BN sebagai kerajaan negeri.
Strategi BN, katanya, bertanding secara solo dan penampilan ramai calon dalam kalangan pemimpin muda adalah satu formula terbaik untuk mencorakkan suasana politik baharu serta segar.
“Pujian perlu diberikan kepada Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berani mengambil risiko mengetengahkan calon muda untuk menawan hati pengundi.
“Terima kasih juga kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai Pengarah PRN Melaka dan keseluruhan jentera BN yang membantu kemenangan BN, katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nur Jazlan juga membidas kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpandangan masih terlalu awal BN untuk memutuskan bergerak secara solo pada PRU-15.
Terdahulu, menurut Khairy, walaupun parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU-15 akan datang.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai menambah, strategi dan formula itu boleh digunapakai pada PRU-15 kerana sudah terbukti mampu memberikan kejayaan besar kepada parti.
Katanya, pendekatan terbaru itu juga mungkin mampu mengimbangi kekurangan sokongan yang dihadapi MCA dan MIC pada PRU-14.
“Kita perlu kekalkan strategi terbaik ini. Bergerak solo tanpa perlu ada kerjasama dengan pakatan politik lain. Lebih ramai calon muda lagi bagus dan dalam masa sama kekalkan calon orang lama untuk mengimbangi sokongan.
“Rakyat percayakan tindakan menyegerakan dan peremajaan dalam parti seperti saya laungkan pada tahun 2008 sewaktu menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu,” katanya.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
LAIN PADANG LAIN BELALANG DAN LANGIT TIDAK SELALU CERAH…..BUAT INGATAN SEMUA
LAIN HULU LAIN PARANG…LAIN DULU LAIN SEKARANG