Lelaki berusia 30-an disyaki kurang siuman cuba membahayakan dirinya bergayut pada besi papan tanda di jejantas di Serdang hari ini berjaya diselamatkan pasukan bomba.- Gambar Ihsan: Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR- Cubaan seorang lelaki disyaki kurang siuman mahu membahayakan dirinya dengan bergayut atas papan tanda di jejantas Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan hari ini mencetuskan panik kepada pengguna lalu lintas.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggotanya memanjat jejantas itu dan mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk lelaki berkenaan sebelum berjaya membawa mangsa turun dari lokasi tersebut.

“Lelaki itu kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.07 petang tadi.

Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba ke lokasi, kami mendapati terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bergayut atas papan tanda di jejantas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan awal bomba mendapati lelaki itu yang dipercayai kurang siuman dan mengalami tekanan perasaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast