Calon Perikatan Nasional N.21 Duyong, Datuk Kamarudin Sidek ketika temubual bersama Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Media MG, Ayer Keroh, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Kamarudin Sidek menafikan tindakan Pas Pusat menggugurkan namanya sebagai Pesuruhjaya Pas Melaka adalah kerana kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, ia hanyapertukaran biasa selepas tiga penggal menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas negeri itu.

No issue… ia pertukaran biasa sebab secara tradisinya jawatan pesuruhjaya dipegang hanya tiga penggal.

“Masa saya dah cukup, masa, jadi wajarlah Pas Pusat mengambil langkah menukarkan saya kepada orang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ditanya mengenai keputusan ini ada kaitan dengan PRN Melaka di mana PN hanya menang dua kerusi iaitu menerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kegagalan Pas memenangi sebarang kerusi, Kamaruddin turut menafikan hal itu.

“Tiada kaitan dengan PRN Melaka.

“Pas bukan hilang kerusi atau kurang kerusi, memang tak ada kerusi pun di Melaka sebelum ini.

“Jangan kaitkan ia dengan PRN Melaka,” ujarnya.

Jelasnya, Pas Pusat boleh melantik sesiapa sahaja termasuk dirinya selepas berehat satu penggal.

Sebelum ini, Pas Pusat menerusi kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengguguran Kamarudin dibuat melalui Mesyuarat Kali Kedua, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 21 November 2021 yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Hanya Kamarudin tidak dikekalkan bagi sesi 2021-2023 manakala 13 lagi Pesuruhjaya Negeri masih penyandang yang sama.

Pada PRN Melaka, Kamaruddin yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Duyong kalah kepada calon Barisan Nasional, Mohd Noor Helmy Abd Halem.

Pas yang bersama-sama PN bertanding lapan kerusi dan tidak menang mana-mana kerusi.

Keputusan itu sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu yang mana parti tersebut turut gagal meraih sebarang kerusi.

Kelmarin, Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta susulan parti itu hanya memperolehi empat kerusi daripada lapan yang ditandingi pada PRN Melaka.

Kok Kiew yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri Bemban tewas kepada calon PN, Dr Mohd Yadzil Yaakob. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.