KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) diminta mengubah jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula 2 Mac 2022 hingga 20 Mac untuk ujian bertulis kerana jadual tersebut sangat padat dan melibatkan subjek teras.
Jadual tersebut juga tidak mengambil kira faktor lain seperti hari minggu negeri yang berlainan.
Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias), Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, situasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ini sudah sangat mencabar, jadual yang padat akan menjejaskan kualiti jawapan seterusnya memberi kesan kepada keputusan peperiksaan mereka.
Walhal, SPM ini merupakan peperiksaan besar dan penting dalam menentukan perjalanan pengajian seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.
Oleh yang demikian, Pepias turut mencadangkan beberapa pengubahsuaian dilaksanakan di jadual tersebut dan dilanjutkan tempoh peperiksaan sehingga hujung bulan Mac 2022.
Selain itu, Pepias menetapkan hari peperiksaan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.
Subjek teras tidak boleh dijadualkan bersama subjek lain pada hari yang sama untuk memberi ruang yang cukup untuk mengulangkaji pelajaran sebaik-baiknya.
”Justeru, Pepias menggesa KPM untuk mengubah semula jadual SPM dengan mengambil kira beberapa faktor lain supaya jadual yang diputuskan selesa dan tidak terlalu padat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, KPM perlu lebih cakna dalam memahami situasi pelajar pada masa kini untuk memastikan kualiti pendidikan sentiasa dalam keadaan yang baik.
Pepias percaya proses semak dan imbang ini penting dalam memastikan keputusan yang dicapai lebih yakin, inklusif dan prihatin rakyat demi melahirkan generasi yang bermutu tinggi. – MalaysiaGazette