Jalan Tapah- Cameron Highlands ditutup sepenuhnya bermula hari ini susulan banyak runtuhan baharu yang berlaku.

TAPAH – Laluan Tapah menuju ke Cameron Highlands, Pahang ditutup sepenuhnya susulan berlaku runtuhan baharu sehingga menyekat laluan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, penutupan jalan itu diputuskan selepas pihak polis mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) ekoran banyak runtuhan baru berlaku sekali gus dikhuatiri membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Jalan Tapah ke Cameron Highlands ditutup sepenuhnya bermula hari ini sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan dan papan tanda penutupan jalan telah diletakkan di Batu 4, Jalan Pahang.

Pihak polis menutup laluan Tapah – Cameron Highlands.

“Sehubungan itu, pengguna yang hendak ke Cameron Highlands dinasihatkan menggunakan jalan alternatif yang lain.

“Bagaimanapun, bagi penduduk yang tinggal di sepanjang jalan sehingga ke Batu 20 masih boleh menggunakan jalan berkenaan namun dinasihatkan agar berhati-hati semasa melalui jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 4.25 petang.

“Tiang elektrik juga tumbang dan laluan kedua-dua arah terhalang.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda orang awam,” kata Wan Azharuddin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki cedera kereta dinaiki dihempap pokok di Cameron Highlands