Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini mengumumkan lima kelonggaran syarat bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, kelonggaran syarat itu dipersetujui JIM susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada 26 Oktober lalu.

Kata beliau, kelonggaran tersebut melibatkan kelulusan kuota sebanyak 70 peratus akan diberi secara terus daripada jumlah permohonan yang melepasi saringan verifikasi di Bahagian Penguatkuasa sementara baki 30peratus adalah tertakluk kepada keputusan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Selain itu, kebenaran kepada majikan di dalam sektor pembinaan, pertanian, perkilangan, perladangan dan perkhidmatan (subsektor restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian) telah diperluaskan kepada sektor-sektor lain kecuali kepada sektor yang dibekukan.

“Syarat kelayakan pendatang asing tanpa izin (PATI) turut diperluaskan kepada Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang telah tamat tempoh.

“PATI yang telah dikeluarkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di dalam Program Rehiring dan 6P yang telah tamat tempoh juga dibenarkan untuk menyertai program RTK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, syarat kelayakan umur PATI semasa permohonan dikemukakan telah dipanjangkan daripada 18 tahun sehingga 49 tahun.

Jelas beliau lagi, sejak program RTK bermula pada 16 November 2020 sehingga Selasa lalu, seramai 14,788 majikan dan 255,909 pendatang asing telah mendaftar di bawah beberapa sektor utama pekerjaan yang dibenarkan kerajaan seperti pembinaan, perladangan, perkilangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, JIM tidak pernah melantik pihak ketiga atau ejen untuk menguruskan RTK.

“Sehubungan dengan itu, semua majikan diingatkan supaya berurusan terus dengan pihak jabatan tanpa melalui pihak ketiga atau ejen bagi mengelakkan dari ditipu.

“Majikan baharu yang pertama kali mendaftar untuk mendapatkan pekerja asing boleh membuat pendaftaran majikan di dalam portal program RTK JIM di pautan www.imi.gov.my.,” ujarnya. – MalaysiaGazette