Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hadir bagi mengiringi pasukan Todak dan Team SMG yang akan berlepas ke Singapura untuk kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M3 World Championship di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali dianjurkan pada tahun hadapan selepas edisi tahun ini dibatalkan akibat Covid-19 yang melanda negara.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu namun tarikh sebenar perlumbaan masih belum diputuskan penganjur.

Menurut beliau, syarikat Human Voyage (M) Sdn Bhd yang sebelum ini ditawarkan kontrak penganjuran selama tiga tahun sejak 2019 akan meneruskan edisi 2022.

“LTdL akan dianjurkan pada tahun hadapan dan saya harap pihak penganjur telah pun bersedia untuk meneruskan pada tahun hadapan.

“(Sekitar bulan berapa) saya tidak pasti tapi terpulang kepada penganjur.

“(Tahun ini) tertangguh akibat pandemik jadi sekarang selepas (pintu sempadan) dibuka saya harap pada tahun hadapan tiada masalah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan pelepasan peserta e-sukan yang berlepas ke Singapura bagi menyertai Kejuaraan Dunia Mobile Legends (M3) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berharap pihak penganjur telah pun bersiap sedia untuk menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

“Saya harap penganjur telah pun bersiap sedia untuk memastikan penganjuran pada tahun hadapan akan dapat dilaksanakan dengan penuh meriah di seluruh negara,” ujarnya.

Katanya, kementerian juga bersedia untuk menyalurkan segala peruntukan yang diperlukan oleh penganjur dalam penganjuran LTdL tahun hadapan berdasarkan kontrak yang termaktub. – MalaysiaGazette