Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan ada kepimpinan tertinggi parti itu ada meminta jawatan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya kini dalam rangka mengkaji keputusan Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Entah mana datang cerita mengenai ADUN PN mahu menyertai kerajaan negeri Melaka.

“Saya mahu tegaskan, pimpinan tertinggi PN tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk ADUN-ADUN PN di Melaka,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, parti itu kini menerima jumlah sokongan yang meningkat di banyak kawasan.

“Kita akan rangka strategi untuk membolehkan untuk memperkukuh parti di atas tapak yang telah terbina. Kita akan jadikan PRN Melaka sebagai batu loncatan untuk mengorak langkah mara ke hadapan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kedudukan dua ADUN PN dalam barisan Exco masih tidak dapat diputuskan.

Beliau berkata, keputusan berkenaan perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepemimpinan BN.

Ini kerana, PRN Melaka memperlihatkan perjuangan Barisan Nasional (BN) yang bertanding secara solo.

Terbaharu, respons daripada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad berkata, tiada keperluan pelantikan dua ADUN PN sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

Menurut Hasan, dengan kemenangan dua per tiga BN dalam PRN Melaka, ia menunjukkan parti itu mampu bergerak secara sendiri dengan kedudukan yang begitu baik. – MalaysiaGazette