Mazlan Bujang

ISKANDAR PUTERI- Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang menafikan seramai 7,301 pelajar di negeri ini berhenti sekolah bagi tempoh antara 2019 hingga 2021.

Menurut Mazlan, perangkaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) merekodkan tidak lebih 600 pelajar berhenti sekolah sebelum wabak Covid-19 menular.

Malah, katanya, jumlah pelajar yang berhenti sekolah selepas wabak Covid-19 menular sejak tahun lalu berkurangan kepada dua angka.

“Dakwaan seramai 7,301 murid dan pelajar sekolah di negeri ini berhenti sekolah antara 2019 hingga tahun ini tidak tepat.

“Menurut data Jabatan Pendidikan Negeri Johor hanya 500 hingga 600 murid dan pelajar sekolah berhenti sekolah sebelum wabak Covid-19, disebabkan gejala sosial dan masalah keluarga.

“Namun, Kementerian Pendidikan mempunyai polisi khas sebelum pelajar berhenti sekolah iaitu diberi kaunseling dahulu, keduanya diberi amaran jika masih berdegil dan jika ia tidak berkesan, barulah pelajar akan diberhentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chew Chong Sin (DAP-Mengkibol) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Dalam sesi soal jawab, Chong Sin ingin mengetahui jumlah murid dan pelajar negeri ini yang berhenti sekolah antara 2019 hingga tahun ini dan punca mereka berhenti sekolah.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya menggunakan pendekatan diplomasi serta tidak mengambil tindakan drastik dalam menangani isu pelajar dan guru yang enggan divaksin.

Dalam pada itu, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, JPNJ menyediakan portal Gerbang Pembelajaran Digital kepada guru dan pelajar di negeri itu.

“Sekolah akan membuat simulasi ujian mendengar dan ujian bertutur bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta Ujian Amali Sains untuk membantu murid memperolehi kefahaman dan kemahiran yang sepatutnya bagi mengatasi masalah ketinggalan silibus pembelajaran.

“Jabatan Pendidikan Negeri Johor melalui Sektor Pembelajaran
membimbing Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk melaksanakannya.

Catch up plan berdasarkan kemahiran asas kurikulum pelajar Tingkatan 5 mulai awal tahun 2022, supaya silibus pembelajaran yang tertinggal dapat diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette