Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat gagal dalam rayuan mereka untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Has Zanah Mehat menolak rayuan Anwar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub; ADUN Gurun dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim untuk kebenaran memulakan permohonan semakan kehakiman terhadap bekas perdana menteri itu dan kerajaan.

Dalam keputusan sebulat suara, hakim Has Zanah berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan permohonan semakan kehakiman walaupun kebenaran diberikan kepada perayu.

“Ia akan dilaksanakan dengan sia-sia kerana mahkamah dilarang oleh Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan daripada mempersoalkan penggunaan budi bicara oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat,” katanya.

Beliau berkata, kuasa mahkamah bergantung kepada apa yang diperuntukkan oleh perlembagaan, bukannya apa yang difikirkan oleh sesetengah pemikir politik apa itu kuasa kehakiman.

Hakim itu berkata, menurut Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen berhasrat untuk mengecualikan semakan kehakiman terhadap keputusan mengisytiharkan darurat serta menutup pintu mahkamah terhadap sebarang cabaran undang-undang yang dibuat semasa darurat dan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Mahkamah tidak mendapati kesilapan undang-undang oleh tiga hakim Mahkamah Tinggi semasa menolak kebenaran untuk semakan kehakiman. Oleh itu, kami menolak rayuan tanpa perintah mengenai kos,” kata Hakim Has Zanah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, dalam prosiding yang dijalankan secara maya.

Pada 22 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung sidang Parlimen darurat seluruh negara.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mariana memutuskan bahawa nasihat Jemaah Menteri dan Muhyiddin kepada Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Ordinan Darurat adalah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari lepas, dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz atas perkara yang sama manakala permohonan kebenaran Hassan ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lepas.

Mereka juga menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan  mereka. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast