Operasi mencari lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dalam laut ketika melarikan diri daripada polis sedang dilakukan oleh pihak bomba.

PENAGA – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke dalam laut ketika melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kuala Muda di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 3 pagi ketika sepasukan polis daripada Balai Polis Kepala Batas melakukan Operasi Cegah Jenayah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tersebut.

“Sekumpulan lelaki yang berkumpul di kawasan berkenaan lari bertempiaran sebaik melihat kehadiran pihak polis sebelum ada dalam kalangan mereka bertindak terjun ke dalam laut.

“Setakat ini, seorang dikhuatiri lemas dan operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan bantuan pihak bomba.

“Identiti individu yang bertindak terjun itu sudah dikenal pasti dan usaha mencari lelaki berusia 34 tahun itu sedang giat dijalankan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.32 pagi berhubung kejadian itu.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan bantuan unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette