Penunggang motosikal dilanggar lori kontena di belakang badan semasa mengisi angin pada tayar motosikal di sebuah stesen minyak di Pelabuhan Klang pagi ini.

KUALA LUMPUR – Lori kontena yang nyaris menggilis seorang penunggang motosikal yang sedang mengisi angin tayar di sebuah sebuah stesen minyak Bandar Sultan Suleiman Pelabuhan Klang, Klang di sini pagi tadi dipandu oleh seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, wanita itu berusia 35 tahun.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 8.30 pagi.

“Semasa kejadian, sebuah lori kontena yang dipandu seorang wanita berumur 35 tahun membuat pusingan-U di dalam kawasan stesen minyak dan telah melanggar mangsa yang sedang mengisi angin tayar motosikal.

“Akibat pelanggaran terbabit, lelaki tempatan yang berumur 29 tahun itu mengalami luka pada tangan dan sakit bahagian kaki serta badan,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Pagi tadi, video berdurasi 23 saat yang memaparkan seorang penunggang motosikal nyaris digilis sebuah lori kontena dalam kejadian di stesen minyak tular di media sosial.

Semasa kejadian, mangsa sedang mengisi angin pada tayar belakang motosikalnya.

Secara tiba-tiba lori kontena yang berada tidak jauh di belakang mangsa membelok sebelum melanggar bahagian belakang badan mangsa.

Mangsa bagaimanapun sempat mengelakkan dirinya setelah hampir digilis lori tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast