Tiara Jacquelina.

KUALA LUMPUR – Penerbit tersohor, Puan Seri Tiara Jacquelina berkongsi berita gembira apabila dia akan mementaskan semula naskhah agung teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) pada tahun hadapan.

Jelasnya, teater itu akan kekal dipentaskan di Istana Budaya seperti yang dijadualkan pada tahun lalu.

“Sekitar pertengahan tahun. Semua yang pegang tiket menanti, tak mahu refund.

“Insya-Allah, Istana Budaya. Alang-alang, kami nak audition semula, supaya dapat yang terbaik untuk watak, semua karakter,” katanya.

Perkembangan itu dikongsikan Tiara ketika tampil sebagai tetamu sesi bual bicara, Aku Pelakon Terbaik yang diadakan secara langsung di laman Instagram Wartawan Hiburan Malaysia semalam.

Teater PGLTM sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 Julai tahun lalu namun ditangguhkan.

Penangguhan tersebut dilakukan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan besar kepada persiapan teater tersebut.

Apabila diminta mengulas lanjut berhubung perkembangan berkenaan, pelakon filem Ringgit Kasorrga itu meminta agar semua peminat menunggu pengumuman rasmi bagi pementasan tersebut.

“Puteri sudah jumpa… tetapi Insya-Allah nanti announcement dia.

“Saya tak sabar, nak arahkan versi baharu. Puteri itu sebahagian diri saya. Saya kenal bau, gerak tubuh, cara fikir dan saya mahu ia menjadi versi yang lebih baik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast