Foto: Facebook

MOSCOW – Pesawat milik tentera udara Amerika Syarikat (AS) melakukan latihan mirip latihan senjata nuklear ke atas Rusia, kata menteri pertahanan negara itu

“Pada bulan ini, semasa latihan strategik Global Thunder yang dilakukan AS, sebanyak 10 pesawat pengebom strategik melakukan latihan pilihan menggunakan senjata nuklear terhadap Rusia yang hampir serentak dari arah barat dan timur,” kata Sergey Shoygu ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari China, Wei Fenghe menerusi persidangan video.

Shoygu berkata, tentera udara AS telah meningkatkan bilangan penerbangan berhampiran sempadan Rusia dan pada bulan lalu sebuah pesawat pengebom AS melakukan kira-kira 30 penerbangan pada jarak 20 kilometer dari Rusia, lapor agensi berita, Anadolu.

Beliau menambah, ia berlaku ketika ‘peningkatan pergolakan geopolitik’ kerjasama ketenteraan Rusia-China.

“China dan Rusia merupakan rakan kongsi strategik sejak sekian lama. Hari ini, menerusi peningkatan pergolakan geopolitik dan peningkatan potensi konflik di pelbagai bahagian dunia, kerjasama kami adalah relevan,” katanya.

Sementara itu, Wei berkata, Beijing sedar ‘ancaman ketenteraan, tekanan dan pencegahan daripada AS ke atas Rusia’.

“AS juga mengambil tindakan yang sama terhadap China. Berhadapan tekanan AS, China dan Rusia bersatu seperti sebuah gunung yang tinggi,” katanya sambil menambah hubungan antara kedua-dua negara tidak dapat dipisahkan.

Beliau menambah, Moscow dan Bejing ‘bersama-sama menentang kekuasaan AS, menentang rejim demokratik palsu AS dan kepelbagaian budaya palsu selain penjelmaan Perang Dingin dalam bentuk baharu’.

Pada penghujung perbincangan itu, kedua-dua menteri memeterai rancangan kerjasama ketenteraan yang memerlukan peningkatan kerjasama pasukan tentera negara terbabit menerusi latihan ketenteraan strategik dan rondaan bersama. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast