Sarawak state election The Chairman of Election Commission (EC), Datuk Abdul Ghani Salleh. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 18 OCTOBER 2021
Abdul Ghani Salleh.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan pada 18 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh-tarikh penting PRN Sarawak telah diputuskan selepas mesyuarat khas SPR pada hari ini.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung pembubaran DUN Sarawak pada 3 November 2021.

“Tarikh Writ PRN adalah 24 November 2021, tarikh penamaan calon akan diadakan pada 6 Disember 2021, mengundi awal akan diadakan pada 14 Disember 2021 dan tarikh pengundian biasa adalah pada 18 Disember 2021,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, PRN Sarawak perlu diadakan bagi mengisi 82 kerusi DUN.

“SPR membariskan 82 pengurus dan 249 penolong pegawai pengurus akan ditugaskan sepanjang PRN Sarawak ini.

“Selain itu seramai 155 penguat kuasa kempen yang dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Abdul Ghani berkata, daftar pemilih yang akan digunakan pada PRN Sarawak adalah terkini yang dikemaskini hingga 2 November iaitu seramai 1,252,014 pengundi. – MalaysiaGazette