Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Hamzah Zainudin berjalan keluar selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (PPBM) di Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia bagi menentukan strategi dan persiapan bukan sahaja PRN Sarawak bahkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bersatu telah memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti-parti komponen dalam PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021.

“Ia sekali gus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Awal hari ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hampir lima jam di Glenmarie Hotel & Golf Resort, di sini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, PRN Melaka pada 20 November lalu membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan yang kukuh dalam kalangan pengundi Melaka.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu Pas dan Gerakan.

“Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti-parti komponennya,” katanya.

Tambah beliau, Bersatu telah mengenalpasti beberapa kelemahan semasa PRN Melaka dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera sebelum PRN Sarawak dan PRU15 akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.