Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika lawatan kerjanya di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) di Jerantut Pahang hari ini.

JERANTUT – Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) dijangka menghasilkan sekurang-kurangnya sebanyak 60,000 straw semen beku berkualiti setahun menjelang 2023.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sasaran tersebut dapat meningkatkan bilangan ternakan ruminan tempatan melalui teknologi permanian beradas.

“Penghasilan semen beku berkualiti mampu meningkatkan  pembiakan ternakan ruminan pedaging dan tenusu negara.

“Selain itu, baka-baka ternakan bersaiz besar seperti Charolais, Limousin, Belgian Blue dan Blonde mendapat permintaan tinggi dalam industri terutamanya bekalan semen beku ternakan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke IBVK Bukit Dingin, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zulidan Mat Daud serta Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Dr. Saifullizam Abd Kadir.

Tambah beliau, lembu hibrid atau dikenali sebagai lembu ‘sado’ yang dihasilkan melalui teknik permanian beradas (AI) menggunakan semen baka-baka ternakan itu bersaiz besar sehingga beratnya dari 900 hingga 1000 kilogram.

“Penggunaan semen baka-baka ini telah berjaya menghasilkan lembu hibrid yang mempunyai kadar pengeluaran daging yang lebih tinggi, dan pulangan yang lumayan.

“Ini kerana harga baka ini boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit seekor berbanding lembu tempatan yang dibiakkan secara semulajadi,” katanya.

Manakala baka lembu tenusu seperti Mafriwal, Jersey dan Holstein-Friesian juga mendapat sambutan membantu peningkatan pengeluaran susu segar dalam negara, ujarnya. – MalaysiaGazette