Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang dilihat cuba menghasut rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman yang diminta memberikan keterangan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Hamzah berkata, tindakan itu dilihat cuba memecahbelahkan masyarakat.

“Kita jangan hanya melihat itu hanya nak seronok bercakap begitu sahaja, yang pentingnya apa yang kita sampaikan biarlah sesuatu yang benar boleh membantu untuk memberikan kepastian tentang masalah masa depan, cadangan untuk kita memastikan negara ini lebih aman damai.

“Kalau kita keluarkan sesuatu yang boleh memecahbelahkan, sudah tentu kita akan ambil tindakan pada sesiapa sahaja yang boleh menghasut semua rakyat dalam negara kita,” katanya pada sidang media bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan agensi persendirian, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Dr Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri KDN II, Jonathan Yasin.

Pada Selasa lalu, Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.

“Saya dimaklumkan perkara ini telah disiasat dan saya tidak tahu sama ada saya akan didakwa ataupun tidak tetapi saya tetap dengan apa yang saya sebutkan di dalam Parlimen,” katanya.

Azis berkata, hanya beliau seorang yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung ucapan itu. – MalaysiaGazette