Ling Tian Soon.

KOTA ISKANDAR – Pemuda MCA Negeri Johor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang berjaya membuat membentangkan Belanjawan Johor 2022.

Ketuanya, Ling Tian Soon juga memuji sikap demokrasi yang diambil oleh kerajaan negeri yang tidak membezakan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya menyambut baik langkah kerajaan negeri yang tidak pernah membezakan peruntukan setiap DUN walaupun diwakili oleh pembangkang,” katanya.

Bagi memastikan prinsip dan semangat demokrasi, katanya, kerajaan negeri bersetuju supaya semua ADUN menerima peruntukan tetap sebanyak RM200, 000 setiap tahun.

Peruntukan itu adalah untuk pengurusan dan pentadbiran di kawasan DUN masing-masing serta peruntukan kerja-kerja kecil dan bekalan.

Sebagai tambahan, sebanyak RM50, 000 diperuntukkan untuk setiap DUN bagi tujuan sambutan perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain.

Tambahnya, beliau turut menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai hab makanan untuk pasaran domestik, serantau dan antarabangsa.

“Saya sangat bersetuju dengan rancangan ini kerana negeri Johor sangat berpotensi memandangkan Johor mempunyai tanah yang luas selain mempunyai kumpulan petani yang berpengalaman.

“Johor juga memiliki teknologi yang moden dan saya yakin kita mampu menjadi pengeluar makanan khusus dari sumber pertanian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan  untuk memperluas pendigitalan di negeri itu.

“Ini kerana pada zaman ini kebanyakkan aktiviti harian dilakukan secara dalam talian atau online termasuk aktiviti perniagaan.

“Oleh itu sudah tentu ianya merupakan satu langkah bijak yang diambil oleh Datuk Hasni sekaligus menunjukkan beliau sememangnya peka dengan perkara yang sepatutnya,” katanya lagi.

Terdahulu, Hasni membentangkan Belanjawan 2022  dipandu oleh dua asas utama iaitu mendekati dan meringankan bebanan rakyat yang terhimpit akibat pandemik covid-19 serta menggiatkan usaha awalan dalam memulihkan semula sektor-sektor ekonomi secara menyeluruh.

Anggaran perbelanjaan yang diperuntukkan bagi pembangunan pada 2022 ialah sebanyak RM870 juta.

Pada masa sama, sebanyak 12 agenda kebajikan, keberdayaan dan keberhasilan utama yang diumumkan dalam belanjawan 2021 juga bakal diteruskan dan ditambah baik.-MalaysiaGazette