Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid (kiri) dan Tan Sri Azman Hashim, dan Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim menyaksikan majlis menandatangani antara Yayasan Peneraju dan AICB di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR –Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) bagi bekerjasama dalam membuka laluan kepada lebih ramai bakat bumiputera untuk menjadi jurubank bertauliah (chatered banker).

MoU itu ditandatangani hari ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol. Bersekutu (PA) Ts Mohd Muzzammil Ismail dan Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling.

Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Tan Sri Azman Hashim, dan Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim.

Di bawah kolaborasi itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membangunkan saluran yang mampan bagi jurubank bertauliah melalui program Peneraju Profesional Jurubank Bertauliah.

“Setakat kini, seramai 25 peserta sedang mengikuti program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain daripada kelayakan jurubank bertauliah, Yayasan Peneraju menyasarkan untuk mendaftarkan 400 profesional untuk pelbagai pensijilan di bawah Perkhidmatan Kewangan & Perniagaan pada 2022, termasuk Certified Internal Auditor (CIA), Chartered Financial Analyst (CFA), Certified Shariah Practitioner (CSP), dan Certified Shariah Auditor (CSA).

Mastura berkata, Yayasan Peneraju telah memperluaskan pensijilan profesional yang ditawarkan di bawah teras Peneraju Profesional untuk menggalakkan penyertaan bakat bumiputera dalam industri dan kerjaya yang relevan.

“Ini adalah untuk memastikan tenaga kerja Malaysia yang baru memasuki pasaran kerja mampu memenuhi keperluan organisasi, yang terus berkembang hasil daripada inovasi digital, integrasi serantau dan peralihan demografi pelanggan.

“Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis.

“Bilangan tenaga kerja bumiputera yang diperakui sebagai Chartered Banker masih rendah jika dibandingkan dengan pertumbuhan berterusan dan permintaan sektor itu. Oleh sebab itu, sememangnya terdapat keperluan untuk penglibatan lebih ramai profesional Bumiputera dalam sektor kewangan dan perbankan untuk menangani jurang itu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dengan kemunculan megatrend global seperti teknologi disruptive, peralihan demografi ke arah pembandaran yang lebih besar, dan penduduk menua, adalah penting untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan mahir dan profesional.

Azman pula berkata, pemeteraian MoU hari ini menandakan komitmen kukuh Yayasan Peneraju dan AICB untuk membina saluran mampan bakat bumiputera dengan kemahiran dan keupayaan yang selari dengan keperluan industri melalui program chartered banker.

“Ia juga melengkapkan bakat bumiputera kita dengan kelayakan perbankan profesional yang diiktiraf di peringkat global dan jawatan profesional berprestij untuk terus maju dalam persekitaran perbankan global yang sentiasa berkembang,” katanya.

Beliau juga berkata kerjasama itu memberikan peluang terbaik untuk bersama-sama mengembangkan fraterniti chartered banker yang kini berjumlah lebih 500 orang, dan seterusnya menanamkan profesionalisme dan integriti jurubank masa depan.

Program Chartered Banker, yang dijalankan dengan kerjasama Chartered Banker Institute, UK, adalah piawaian emas dalam perbankan dan direka untuk melahirkan jurubank yang relevan dan berpengetahuan luas tentang industri yang merangkumi piawaian profesionalisme, kecekapan dan kelakuan beretika tertinggi, yang mana ia akan mengukuhkan kepercayaan orang ramai dan mengesahkan semula komitmen industri untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat.

Beliau juga menambah, setelah tamat program Chartered Banker, seseorang itu boleh memperoleh MBA Chartered Banker dalam tempoh satu tahun melalui laluan singkat khusus yang ditawarkan oleh Asia Banking School dan Bangor Business School, UK.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju telah berjaya melaksanakan pelbagai program pembiayaan meliputi program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis termasuk program perbankan dan kewangan yang sesuai dengan semua golongan bumiputera bermula daripada lepasan SPM hingga pelajar universiti serta profesional yang bekerja dan menganggur.

Hari ini, Yayasan Peneraju telah merealisasikan aspirasi lebih 40,000 penerima manfaat dari seluruh Malaysia melalui lebih 350 program pembiayaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast