Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi beramah mesra bersama pekerja 99 SpeedMart pada Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan ke 2000 99 SpeedMart di Jalan Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Harga kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 menggunakan sampel air liur kini boleh didapati pada harga serendah RM4.90 seunit.

Sebelum ini, setiap kit ujian kendiri Covid-19 itu dijual pada harga RM6.90.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tidak dinafikan kit tersebut sudah menjadi keperluan bagi setiap isi rumah dengan mengambil kira situasi penularan Covid-19 yang masih tinggi di dalam negara.

Menurut beliau, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian semestinya memerlukan ujian kendiri dilakukan dengan kerap.

“KPDNHEP sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan set ini yang dijual pada harga tinggi, sebelum ini. Melalui usaha yang diadakan oleh kementerian, kita sudah berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri ini dari RM39.90 kepada harga siling RM19.90, di peringkat runcit.

“Melalui perbincangan berterusan yang diadakan bersama KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Alexander, dengan mengambil kira semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara strategi yang dilaksanakan oleh kementerian adalah dengan memberi kebenaran kepada lebih banyak premis seperti di pasar raya dan kedai rangkaian (chain store) untuk menjual kit ujian kendiri Covid-19 yang telah mendapat kebenaran pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan KKM.

Jelas beliau, setakat ini, KPDNHEP sudah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini.

“Perluasan penjualan ini sudah menyaksikan harga kit ini dijual pada harga RM6.90.

“Tetapi hari ini saya amat gembira melihat inisiatif yang diambil oleh kedai 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ini pada harga RM4.90 seunit.

“Kerjasama dari peniaga seperti ini amat kami hargai bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara kita. Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette