Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terbaring di ruang tamu pangsapurinya di Jalan Ukay Bestari, Taman Melawati, Ampang hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi kaunter aduan Balai Polis Taman Melawati menerima satu panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terhidu bau busuk di tempat kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota kemudiannya digerakkan ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan terbaring di atas kerusi.

“Pengecaman yang dibuat oleh keluarga mangsa mengesahkan mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan ujian Covid-19 turut dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengesahkan jangkitan namun ia belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa yang tidak bekerja itu merupakan seorang duda selama hampir sembilan tahun dan mempunyai lima anak yang dijaga oleh bekas isteri.

Jelas beliau, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui apa-apa unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – MalaysiaGazette